Oleh:
Nursyuhada Binti Md. Anuar
No. Matrik: P-SM0040/14
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan
Pembangunan Islam), USM
Pada
suatu ketika dahulu, andai ada wanita mahupun lelaki yang lanjut usianya masih
tidak dilamar atau berkahwin, mesti akan terdapat pelbagai sindiran mahupun
bualan daripada masyarakat yang terdekat. Namun kini, peredaran zaman yang
lebih maju dan moden menuntut ramai wanita dan lelaki mengejar impian dan
kerjaya masing-masing sama ada untuk keperluan diri mahupun kepuasan diri.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini dapat dilihat perkahwinan pada usia muda mula
menjadi trend masyarakat di Malaysia. Perkara ini kemudiannya menarik perhatian
daripada pelbagai pihak setelah perkahwinan remaja bawah umur mula menjadi ‘viral’ di laman sosial serta laporan
berita di kaca televisyen. Hal ini menjadi lebih hangat diperkatakan oleh
rakyat Malaysia apabila Malaysia digemparkan dengan kes perceraian pasangan
bawah umur tersebut pada tahun 2013 yang berkahwin tidak sampai setahun (Sinar
Harian, 2013; Astro Awani, 2013). Pada tahun yang sama juga satu lagi pasangan
remaja berumur 15 dan 16 tahun telah berkahwin dengan persetujuan kedua ibu
bapa masing-masing (Hamid Karim, 2013). Pada tahun 2014 pula, satu lagi perkahwinan
remaja mula menjadi ‘viral’ di laman
sosial akibat faktor umur pasangan yang terlalu muda iaitu 15 dan 17 tahun
(Hafidzul Hilmi Mohd Noor, 2014). Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)
turut menyatakan kebimbangan dengan peningkatan permohonan berkahwin bawah umur
dalam kalangan remaja meningkat yang kebanyakannya dikatakan akibat daripada
kehamilan luar nikah (Sharani Ismail dan Zanariah Abd Mutalib, 2011).
Situasi mahupun isu berkaitan
perkahwinan remaja bawah umur ini mendapat pelbagai pandangan daripada
masyarakat. Ada yang sesetengahnya berpandangan bahawa perkahwinan bawah umur
tidak patut dibenarkan manakala ada juga yang berpandangan sebaliknya. Dalam
membincangkan soal perlu atau tidak sesebuah perkahwinan bawah umur itu
dibenarkan, selain mengutamakan hukum syarak serta sebab mengapa ia dibenarkan,
kesan perkahwinan dari sudut pasangan tersebut juga patut diambil kira. Sebagai
contoh, kesan perkahwinan terhadap pembangunan remaja tersebut dari segi rohani
mahupun jasmani. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan tentang kesan
perkahwinan remaja bawah umur terhadap pembangunan remaja itu sendiri. Bagi
membincangkan perkara ini, penulis melihat kesan tersebut berdasarkan kepada
beberapa aspek iaitu kesihatan, emosi dan juga pendidikan.
Menurut Perunding Obstetrik
dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof
Madya Dr Harlina Halizah Siraj, kesan perkahwinan di bawah umur lebih dirasai
remaja perempuan berbanding lelaki kerana mereka yang akan melalui proses
kehamilan dan melahirkan anak (Muhammad Naim Fital, 2013).
Selain itu, remaja perempuan juga merupakan golongan yang mempunyai risiko dua
kali ganda mengalami komplikasi sehingga boleh meninggal dunia ketika
melahirkan anak berbanding yang berusia 20-an (Hayward, 2011).
Memandangkan sikap sosial
terhadap kehamilan remaja dan ibu biasanya negatif dan terdapat bukti empirikal
menunjukkan bahawa kehamilan remaja adalah yang paling sering tidak dirancang
serta bahawa ibu-ibu remaja adalah yang paling kurang bernasib baik dari segi
ekonomi dan material, ia adalah munasabah untuk menjangkakan kadar kemurungan
selepas bersalin yang lebih tinggi. Tambahan pula, remaja sering digambarkan
dalam kesusasteraan psikologi sebagai waktu krisis kerana ia dikatakan
peringkat yang penting dalam pembangunan jangka hayat apabila individu itu berjuang
dengan peralihan dari zaman kanak-kanak kepada dewasa (Irvin et.al, 1997).
Berdasarkan kajian terhadap otak manusia
yang telah dijalankan oleh National
Institute of Mental Health (NIMH) pada tahun 2000 pula mendapati bahawa
bahagian otak yang terbabit dalam kewarasan alasan, pemikiran logikal,
penyelesaian masalah, membuat keputusan dan kawalan emosi akan berkembang
sepenuhnya apabila seseorang individu mencecah usia 20-an (NIMH, 2011). Menurut
NIMH (2011) lagi, remaja yang berumur di bawah 20-an masih belum berkembang
penuh otaknya menyebabkan ramai di antara remaja tersebut berfikir di luar
jangkaan dan masih lemah dalam membuat keputusan.
Selain daripada memberi kesan terhadap
emosi dan fizikal, perkahwinan pada usia yang terlalu muda turut membantutkan
pendidikan remaja tersebut. Pensyarah Jabatan Psikologi
Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Hariyati Shahrima Abdul
Majid berkata, sehingga kini 16,000 remaja perempuan di bawah umur 15 tahun di
negara ini mendirikan rumah tangga dan kajian menunjukkan remaja yang berkahwin
sebelum umur 18 tahun kehilangan empat tahun persekolahan berbanding orang yang
berkahwin lebih lewat. Selain ketinggalan dalam pendidikan setelah berkahwin, keciciran dalam pendidikan sebelum berkahwin juga menjadi salah satu faktor yang menjerumuskan remaja ke dalam pelbagai masalah sosial seperti seks sebelum nikah yang kemudiannya memberikan akibat kepada kenapa perkahwinan bawah umur boleh berlaku (Khadijah Alavi et. al, 2012).
Secara keseluruhannya, kesan-kesan perkahwinan seawal usia remaja bawah umur terutamanya menunjukkan kesan yang negatif dan amat berbeza dengan situasi ketika zaman Rasulullah SAW dahulu. Namun, kesan yang negatif ini hanya akan berlaku jika tidak diurus dan dibimbing dengan berlandaskan asas dan syariat agama yang kukuh. Tambahan pula, amatlah tidak wajar untuk menyamakan zaman Rasulullah dengan sekarang kerana keadaan dan situasi pada zaman dahulu dan kini amat berbeza. Contohnya, generasi dahulu sudah pandai berdikari dan berkemahiran dalam mencari rezeki sendiri ketika usia muda berbanding generasi zaman sekarang yang masih bergantung dengan ibu bapa walaupun sudah berumur 20-an (Pahrol Mohamad Juoi, 2014). Perkara ini jelas dengan hanya melihat perjalanan sirah nabi Rasulullah SAW yang mencari rezeki dengan mengembala kambing sejak berumur belasan tahun lagi (Sheikh Shafiyyur Rahman Al-Mubarakfury, 2012).
Tambahan lagi, salah satu ciri tasawur
Islam itu sendiri adalah al-thabat wa
al-murunah (al-taghayyur) yang
membawa maksud Islam adalah agama yang tetap, tegas dan tidak berganjak (al-thabat), tetapi pada masa yang sama
ia agama yang lembut, boleh dilentur dan boleh menerima perubahan serta boleh
disesuaikan (al-murunah) mengikut
peredaran zaman dan perubahan tempat (Mohd Shukri Hanapi, 2013). Oleh sebab
itu, atas faktor-faktor tertentu, perkahwinan bawah umur di Malaysia tidak
dibenarkan kecuali dengan mendapat kebenaran dan kelulusan dahulu daripada JKSM
melalui ibu bapa. Pihak JKSM kemudiannya hanya akan memberi kelulusan setelah
membuat pertimbangan dengan melihat dari pelbagai aspek demi kemaslahatan
ummah. Akibat dari kes-kes negatif yang berlaku setelah perkahwinan bawah umur
ini diluluskan, ramai pihak yang mula menuding jari dan mempersoalkan pihak
JKSM yang meluluskan permohonan perkahwinan bawah umur (Hasliza Hasan, 2011).
Namun, punca situasi perkahwinan bawah
umur mahupun perceraian ini seharusnya tidak dilihat dari sudut pelaksana dasar
yang meluluskan tetapi juga dari sudut penggubal dan penerima dasar tersebut
iaitu pihak kerajaan sendiri, masyarakat secara umum serta ibu bapa dan remaja
secara khususnya. Oleh itu, berbanding dengan hanya menuding jari kepada siapa
yang harus dipertanggungjawabkan terhadap masalah yang berlaku, setiap individu
dalam masyarakat itu sendiri perlu mempunyai kesedaran dan kembali kepada asas
yang kukuh iaitu akidah serta akhlak yang baik. Bertepatan dengan potongan hadith
yang bermaksud: Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,
“Adakah
anda tahu apa itu yang membuat kebanyakan orang masuk Syurga?
Taqwa kepada Allah dan akhlak yang
baik." (Riwayat Hasan , No. Hadith 289)
Apabila akidah kukuh, dizahirkan dengan
amal dan perbuatan yang baik dan mengikut syariat, maka kehidupan manusia atau
individu muslim akan lebih terarah dan mengikut landasan yang betul. Ini kerana
apabila baik imannya, maka baiklah nafsunya (Muhammad Syukri Salleh, 2003).
Natijahnya, perkara maksiat seperti hubungan seks sebelum nikah dapat dikawal
dan dihindari. Melalui penekanan akidah dan akhlak yang kukuh ini juga dapat
membantu membentuk remaja yang baik akhak dan tingkah lakunya. Apabila remaja
yang mantap dari segi akidah dan akhlaknya ini terbentuk maka perkahwinan bawah
umur tidak lagi menjadi isu kerana remaja lebih berfikiran rasional
berlandaskan syariat agama yang betul.
Secara kesimpulannya, isu perkahwinan
bawah umur yang majoritinya akibat daripada kes hamil luar nikah ini banyak
memberi kesan yang negatif terhadap pembangunan remaja. Permulaan yang negatif
dikatakan akan berakhir dengan kesan negatif juga. Walau bagaimanapun, perkara
atau kesan yang negatif ini tidak akan berlaku jika dibimbing dan dipandu ke
arah yang baik dan berlandaskan Islam. Oleh itu, dalam hal ini, bukan sahaja
remaja dan ibu bapa yang perlu berusaha membantu malah setiap lapisan
masyarakat yang bertindak sebagai pelaku pembangunan juga haruslah berusaha
membantu dengan meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat utama agar
kehidupan dan pembangunan individu malah dalam bermasyarakat terbina
berteraskan Islam.
Bibliografi:
Hafidzul
Hilmi Mohd Noor (2014). Kami nikah bukan tutup aib. Harian Metro. Diambil dari:
http://www.hmetro.com.my/node/16769
Hamid
Karim (2013). Remaja 15, 16 Tahun Nikah. Berita Harian. Diambil dari: http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Remaja15_16tahunnikah/Article/index_html
Hasliza
Hasan (2011). Keizinan berkahwin bawah umur wajar diperhalusi. Berita Harian. Diambil dari: http://www.jksm.gov.my/jksmv2/images/stories/Penerbitan/Keratan%20Akhbar/2011/1/15012011%20%5BBH%5D%20Keizinan%20Berkahwin%20Bawah%20Umur%20Wajar%20Diperhalusi.jpg
Haron
Din (2015) (Ed.). Manusia dan Islam.
Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributore Sdn. Bhd.
Irvine,
H., Bradley, T., Cupples, M., Boohan, M. (1997). The implications of teenage
pregnancy and motherhood for primary health care: unresolved issues. The British Journal of General Practice, 47(418),
323-326.
Kamarul
Azmi Jasmi (2008). Perkahwinan semasa belajar: Kebaikan dan keburukannya dalam
pembangunan pelajar universiti. Kertas kerja dibentangkan di Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat
Kebangsaan 2008 di UTM pada 22-23 Oktober 2008.
Khadijah Alavi, Salina Nen, Fauziah Ibrahim, Noremy Md. Akhir, Mohd Suhaimi Mohamad, & Noorhasliza Mohd Nordin (2012). Hamil Luar Nikah Dalam Kalangan Remaja. Journal of Social Sciences and Humanities, 7(1), 131-140.
Khadijah Alavi, Salina Nen, Fauziah Ibrahim, Noremy Md. Akhir, Mohd Suhaimi Mohamad, & Noorhasliza Mohd Nordin (2012). Hamil Luar Nikah Dalam Kalangan Remaja. Journal of Social Sciences and Humanities, 7(1), 131-140.
Mohd
Shukri Hanapi (2013). Tasawur Islam dan
Pembangunan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad
Naim Fital (2013). Undang-undang perkahwinan di Malaysia dan kesan terhadap
kanak-kanak bawah umur. Diambil dari: http://naimpital.blogspot.my/2013/11/undang-undang-perkahwinan-di-malaysia.html#.VkoThNIrK00
Muhammad
Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam.
Kuala Lumpur, Malaysia.: Zebra Editions Sdn. Bhd.
National
Institute of Mental Health (2011). The
Teen Brain: Still Under Construction. Diambil dari: http://www.nimh.nih.gov/health/publications/the-teen-brain-still-under-construction/index.shtml
Noor
Hasliza Nusi (2009). Trend Kahwin Muda. Kosmo.
Diambil dari: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm
Pahrol
Mohd Juoi (2014). Kahwin bukan soal usia atau masa. Generasi Quran Kreatif, 3(31), 14.
Sansabil
Hj Ismail, Sulaiman Shakib Mohd Noor dan Mohamed Sharif Mustaffa (2006).
Persepsi siswi terhadap faktor-faktor yang memainkan peranan untuk mendirikan
rumah tangga: Satu tinjauan di Fakulti Pendidikan. Diambil dari: http://eprints.utm.my/151/2/SansabilIsmail2006_Persepsisiswiterhadapfaktor-faktor.pdf
Sharaani
Ismail dan Zanariah Abd Mutalib (2011). Remaja Kahwin Awal Meningkat. Berita
Harian. Diambil dari: http://sukawebnsso.penang.gov.my/pkn/Akhbar.nsf/981d6336478572e5482575e6002c4e9f/13384f8452f993114825790b0022ccb5/$FILE/scan0001.pdf
Siti
Badariah Nawi (2014). Trend Mahasiswa Kahwin Awal. Sinar Online. Diambil dari: http://www.sinarharian.com.my/nasional/trend-mahasiswa-kahwin-awal-1.294149
Sheikh
Shafiyyur Rahman Al-Mubarakfury, Syeikh Muhammad Ali Al-Harakan, SakinaBegum
Zainal Abidin dan Nik Azmazuraida Nik Ahmad (Eds.) (2012). Sirah Nabawiyah. Selangor: Pustaka Ibnu Katsir Sdn. Bhd.
Tiada
Nama (2013). Usia Kahwin Tak Cecah Setahun Kini Cerai. Sinar Harian. Diambil
dari: http://www.sinarharian.com.my/semasa/usia-kahwin-tak-cecah-setahun-kini-cerai-talak-3-1.225089
Tiada
Nama (2013). Kahwin kerana telah diperkosa, kata bapa remaja cerai talak tiga.
Astro Awani. Diambil dari: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kahwin-kerana-telah-diperkosa-kata-bapa-remaja-cerai-talak-tiga-26126
Tiada
Nama (2014). Pengantin berusia 15 tahun nafi kahwin tutup aib. Astro Awani.
Diambil dari: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pengantin-berusia-15-tahun-nafi-kahwin-untuk-tutup-aib-50415
Tiada
Nama (2014). Pasangan Remaja 15, 17 tahun kahwin. Utusan Online. Diambil dari: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pasangan-remaja-15-17-tahun-kahwin-1.37390
Zunaidah
Zainon dan Zuarida Mohyin (2006). Kahwin Muda Membawa Bahagia atau Derita? Utusan Online. Diambil dari: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
The King Casino Archives - Hertzaman
ReplyDeleteThe King Casino Archives, febcasino including news, https://septcasino.com/review/merit-casino/ articles, goyangfc videos, address, gaming info, The King Casino & Hotel in Henderson, https://febcasino.com/review/merit-casino/ NV is one of the newest hotels and motels on herzamanindir.com/