Monday, 16 November 2015

Kesan Perkahwinan Bawah Umur Terhadap Remaja


Oleh:
Nursyuhada Binti Md. Anuar
No. Matrik: P-SM0040/14
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam), USM

Pada suatu ketika dahulu, andai ada wanita mahupun lelaki yang lanjut usianya masih tidak dilamar atau berkahwin, mesti akan terdapat pelbagai sindiran mahupun bualan daripada masyarakat yang terdekat. Namun kini, peredaran zaman yang lebih maju dan moden menuntut ramai wanita dan lelaki mengejar impian dan kerjaya masing-masing sama ada untuk keperluan diri mahupun kepuasan diri. Walau bagaimanapun, baru-baru ini dapat dilihat perkahwinan pada usia muda mula menjadi trend masyarakat di Malaysia. Perkara ini kemudiannya menarik perhatian daripada pelbagai pihak setelah perkahwinan remaja bawah umur mula menjadi ‘viral’ di laman sosial serta laporan berita di kaca televisyen. Hal ini menjadi lebih hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia apabila Malaysia digemparkan dengan kes perceraian pasangan bawah umur tersebut pada tahun 2013 yang berkahwin tidak sampai setahun (Sinar Harian, 2013; Astro Awani, 2013). Pada tahun yang sama juga satu lagi pasangan remaja berumur 15 dan 16 tahun telah berkahwin dengan persetujuan kedua ibu bapa masing-masing (Hamid Karim, 2013). Pada tahun 2014 pula, satu lagi perkahwinan remaja mula menjadi ‘viral’ di laman sosial akibat faktor umur pasangan yang terlalu muda iaitu 15 dan 17 tahun (Hafidzul Hilmi Mohd Noor, 2014). Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) turut menyatakan kebimbangan dengan peningkatan permohonan berkahwin bawah umur dalam kalangan remaja meningkat yang kebanyakannya dikatakan akibat daripada kehamilan luar nikah (Sharani Ismail dan Zanariah Abd Mutalib, 2011).

Situasi mahupun isu berkaitan perkahwinan remaja bawah umur ini mendapat pelbagai pandangan daripada masyarakat. Ada yang sesetengahnya berpandangan bahawa perkahwinan bawah umur tidak patut dibenarkan manakala ada juga yang berpandangan sebaliknya. Dalam membincangkan soal perlu atau tidak sesebuah perkahwinan bawah umur itu dibenarkan, selain mengutamakan hukum syarak serta sebab mengapa ia dibenarkan, kesan perkahwinan dari sudut pasangan tersebut juga patut diambil kira. Sebagai contoh, kesan perkahwinan terhadap pembangunan remaja tersebut dari segi rohani mahupun jasmani. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan tentang kesan perkahwinan remaja bawah umur terhadap pembangunan remaja itu sendiri. Bagi membincangkan perkara ini, penulis melihat kesan tersebut berdasarkan kepada beberapa aspek iaitu kesihatan, emosi dan juga pendidikan.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, kesan perkahwinan di bawah umur lebih dirasai remaja perempuan berbanding lelaki kerana mereka yang akan melalui proses kehamilan dan melahirkan anak (Muhammad Naim Fital, 2013). Selain itu, remaja perempuan juga merupakan golongan yang mempunyai risiko dua kali ganda mengalami komplikasi sehingga boleh meninggal dunia ketika melahirkan anak berbanding yang berusia 20-an (Hayward, 2011).

Memandangkan sikap sosial terhadap kehamilan remaja dan ibu biasanya negatif dan terdapat bukti empirikal menunjukkan bahawa kehamilan remaja adalah yang paling sering tidak dirancang serta bahawa ibu-ibu remaja adalah yang paling kurang bernasib baik dari segi ekonomi dan material, ia adalah munasabah untuk menjangkakan kadar kemurungan selepas bersalin yang lebih tinggi. Tambahan pula, remaja sering digambarkan dalam kesusasteraan psikologi sebagai waktu krisis kerana ia dikatakan peringkat yang penting dalam pembangunan jangka hayat apabila individu itu berjuang dengan peralihan dari zaman kanak-kanak kepada dewasa (Irvin et.al, 1997).

Berdasarkan kajian terhadap otak manusia yang telah dijalankan oleh National Institute of Mental Health (NIMH) pada tahun 2000 pula mendapati bahawa bahagian otak yang terbabit dalam kewarasan alasan, pemikiran logikal, penyelesaian masalah, membuat keputusan dan kawalan emosi akan berkembang sepenuhnya apabila seseorang individu mencecah usia 20-an (NIMH, 2011). Menurut NIMH (2011) lagi, remaja yang berumur di bawah 20-an masih belum berkembang penuh otaknya menyebabkan ramai di antara remaja tersebut berfikir di luar jangkaan dan masih lemah dalam membuat keputusan.

Selain daripada memberi kesan terhadap emosi dan fizikal, perkahwinan pada usia yang terlalu muda turut membantutkan pendidikan remaja tersebut. Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata, sehingga kini 16,000 remaja perempuan di bawah umur 15 tahun di negara ini mendirikan rumah tangga dan kajian menunjukkan remaja yang berkahwin sebelum umur 18 tahun kehilangan empat tahun persekolahan berbanding orang yang berkahwin lebih lewat. Selain ketinggalan dalam pendidikan setelah berkahwin, keciciran dalam pendidikan sebelum berkahwin juga menjadi salah satu faktor yang menjerumuskan remaja ke dalam pelbagai masalah sosial seperti seks sebelum nikah yang kemudiannya memberikan akibat kepada kenapa perkahwinan bawah umur boleh berlaku (Khadijah Alavi et. al, 2012). 

Secara keseluruhannya, kesan-kesan perkahwinan seawal usia remaja bawah umur terutamanya menunjukkan kesan yang negatif dan amat berbeza dengan situasi ketika zaman Rasulullah SAW dahulu. Namun, kesan yang negatif ini hanya akan berlaku jika tidak diurus dan dibimbing dengan berlandaskan asas dan syariat agama yang kukuh. Tambahan pula, amatlah tidak wajar untuk menyamakan zaman Rasulullah dengan sekarang kerana keadaan dan situasi pada zaman dahulu dan kini amat berbeza. Contohnya, generasi dahulu sudah pandai berdikari dan berkemahiran dalam mencari rezeki sendiri ketika usia muda berbanding generasi zaman sekarang yang masih bergantung dengan ibu bapa walaupun sudah berumur 20-an (Pahrol Mohamad Juoi, 2014). Perkara ini jelas dengan hanya melihat perjalanan sirah nabi Rasulullah SAW yang mencari rezeki dengan mengembala kambing sejak berumur belasan tahun lagi (Sheikh Shafiyyur Rahman Al-Mubarakfury, 2012).

Tambahan lagi, salah satu ciri tasawur Islam itu sendiri adalah al-thabat wa al-murunah (al-taghayyur) yang membawa maksud Islam adalah agama yang tetap, tegas dan tidak berganjak (al-thabat), tetapi pada masa yang sama ia agama yang lembut, boleh dilentur dan boleh menerima perubahan serta boleh disesuaikan (al-murunah) mengikut peredaran zaman dan perubahan tempat (Mohd Shukri Hanapi, 2013). Oleh sebab itu, atas faktor-faktor tertentu, perkahwinan bawah umur di Malaysia tidak dibenarkan kecuali dengan mendapat kebenaran dan kelulusan dahulu daripada JKSM melalui ibu bapa. Pihak JKSM kemudiannya hanya akan memberi kelulusan setelah membuat pertimbangan dengan melihat dari pelbagai aspek demi kemaslahatan ummah. Akibat dari kes-kes negatif yang berlaku setelah perkahwinan bawah umur ini diluluskan, ramai pihak yang mula menuding jari dan mempersoalkan pihak JKSM yang meluluskan permohonan perkahwinan bawah umur (Hasliza Hasan, 2011).

Namun, punca situasi perkahwinan bawah umur mahupun perceraian ini seharusnya tidak dilihat dari sudut pelaksana dasar yang meluluskan tetapi juga dari sudut penggubal dan penerima dasar tersebut iaitu pihak kerajaan sendiri, masyarakat secara umum serta ibu bapa dan remaja secara khususnya. Oleh itu, berbanding dengan hanya menuding jari kepada siapa yang harus dipertanggungjawabkan terhadap masalah yang berlaku, setiap individu dalam masyarakat itu sendiri perlu mempunyai kesedaran dan kembali kepada asas yang kukuh iaitu akidah serta akhlak yang baik. Bertepatan dengan potongan hadith yang bermaksud: Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,

 “Adakah anda tahu apa itu yang membuat kebanyakan orang masuk Syurga?
Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik." (Riwayat Hasan , No. Hadith 289)

Apabila akidah kukuh, dizahirkan dengan amal dan perbuatan yang baik dan mengikut syariat, maka kehidupan manusia atau individu muslim akan lebih terarah dan mengikut landasan yang betul. Ini kerana apabila baik imannya, maka baiklah nafsunya (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Natijahnya, perkara maksiat seperti hubungan seks sebelum nikah dapat dikawal dan dihindari. Melalui penekanan akidah dan akhlak yang kukuh ini juga dapat membantu membentuk remaja yang baik akhak dan tingkah lakunya. Apabila remaja yang mantap dari segi akidah dan akhlaknya ini terbentuk maka perkahwinan bawah umur tidak lagi menjadi isu kerana remaja lebih berfikiran rasional berlandaskan syariat agama yang betul.

Secara kesimpulannya, isu perkahwinan bawah umur yang majoritinya akibat daripada kes hamil luar nikah ini banyak memberi kesan yang negatif terhadap pembangunan remaja. Permulaan yang negatif dikatakan akan berakhir dengan kesan negatif juga. Walau bagaimanapun, perkara atau kesan yang negatif ini tidak akan berlaku jika dibimbing dan dipandu ke arah yang baik dan berlandaskan Islam. Oleh itu, dalam hal ini, bukan sahaja remaja dan ibu bapa yang perlu berusaha membantu malah setiap lapisan masyarakat yang bertindak sebagai pelaku pembangunan juga haruslah berusaha membantu dengan meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat utama agar kehidupan dan pembangunan individu malah dalam bermasyarakat terbina berteraskan Islam. 

Bibliografi:

Hafidzul Hilmi Mohd Noor (2014). Kami nikah bukan tutup aib. Harian Metro. Diambil dari: http://www.hmetro.com.my/node/16769
Hamid Karim (2013). Remaja 15, 16 Tahun Nikah. Berita Harian. Diambil dari: http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Remaja15_16tahunnikah/Article/index_html
Haron Din (2015) (Ed.). Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributore Sdn. Bhd.
Irvine, H., Bradley, T., Cupples, M., Boohan, M. (1997). The implications of teenage pregnancy and motherhood for primary health care: unresolved issues. The British Journal of General Practice, 47(418), 323-326.
Kamarul Azmi Jasmi (2008). Perkahwinan semasa belajar: Kebaikan dan keburukannya dalam pembangunan pelajar universiti. Kertas kerja dibentangkan di Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat Kebangsaan 2008 di UTM pada 22-23 Oktober 2008.
Khadijah Alavi, Salina Nen, Fauziah Ibrahim, Noremy Md. Akhir, Mohd Suhaimi Mohamad, & Noorhasliza Mohd Nordin (2012). Hamil Luar Nikah Dalam Kalangan Remaja. Journal of Social Sciences and Humanities, 7(1), 131-140.
Mohd Shukri Hanapi (2013). Tasawur Islam dan Pembangunan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Naim Fital (2013). Undang-undang perkahwinan di Malaysia dan kesan terhadap kanak-kanak bawah umur. Diambil dari: http://naimpital.blogspot.my/2013/11/undang-undang-perkahwinan-di-malaysia.html#.VkoThNIrK00
Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur, Malaysia.: Zebra Editions Sdn. Bhd.
National Institute of Mental Health (2011). The Teen Brain: Still Under Construction. Diambil dari: http://www.nimh.nih.gov/health/publications/the-teen-brain-still-under-construction/index.shtml
Noor Hasliza Nusi (2009). Trend Kahwin Muda. Kosmo. Diambil dari: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm
Pahrol Mohd Juoi (2014). Kahwin bukan soal usia atau masa. Generasi Quran Kreatif, 3(31), 14.
Sansabil Hj Ismail, Sulaiman Shakib Mohd Noor dan Mohamed Sharif Mustaffa (2006). Persepsi siswi terhadap faktor-faktor yang memainkan peranan untuk mendirikan rumah tangga: Satu tinjauan di Fakulti Pendidikan. Diambil dari: http://eprints.utm.my/151/2/SansabilIsmail2006_Persepsisiswiterhadapfaktor-faktor.pdf
Sharaani Ismail dan Zanariah Abd Mutalib (2011). Remaja Kahwin Awal Meningkat. Berita Harian. Diambil dari: http://sukawebnsso.penang.gov.my/pkn/Akhbar.nsf/981d6336478572e5482575e6002c4e9f/13384f8452f993114825790b0022ccb5/$FILE/scan0001.pdf
Siti Badariah Nawi (2014). Trend Mahasiswa Kahwin Awal. Sinar Online. Diambil dari: http://www.sinarharian.com.my/nasional/trend-mahasiswa-kahwin-awal-1.294149
Sheikh Shafiyyur Rahman Al-Mubarakfury, Syeikh Muhammad Ali Al-Harakan, SakinaBegum Zainal Abidin dan Nik Azmazuraida Nik Ahmad (Eds.) (2012). Sirah Nabawiyah. Selangor: Pustaka Ibnu Katsir Sdn. Bhd.
Tiada Nama (2013). Usia Kahwin Tak Cecah Setahun Kini Cerai. Sinar Harian. Diambil dari: http://www.sinarharian.com.my/semasa/usia-kahwin-tak-cecah-setahun-kini-cerai-talak-3-1.225089
Tiada Nama (2013). Kahwin kerana telah diperkosa, kata bapa remaja cerai talak tiga. Astro Awani. Diambil dari: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kahwin-kerana-telah-diperkosa-kata-bapa-remaja-cerai-talak-tiga-26126
Tiada Nama (2014). Pengantin berusia 15 tahun nafi kahwin tutup aib. Astro Awani. Diambil dari: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pengantin-berusia-15-tahun-nafi-kahwin-untuk-tutup-aib-50415
Tiada Nama (2014). Pasangan Remaja 15, 17 tahun kahwin. Utusan Online. Diambil dari: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pasangan-remaja-15-17-tahun-kahwin-1.37390
Zunaidah Zainon dan Zuarida Mohyin (2006). Kahwin Muda Membawa Bahagia atau Derita? Utusan Online. Diambil dari: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

1 comment:

  1. The King Casino Archives - Hertzaman
    The King Casino Archives, febcasino including news, https://septcasino.com/review/merit-casino/ articles, goyangfc videos, address, gaming info, The King Casino & Hotel in Henderson, https://febcasino.com/review/merit-casino/ NV is one of the newest hotels and motels on herzamanindir.com/

    ReplyDelete